Baru-baru ini kepimpinan MPMUM 2008/09 mengadakan Roadshow di Kolej-kolej Kediaman di Universiti Malaya. Tujuan Roadshow ini adalah untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baru MPMUM kepada mahasiswa/i yang menginap di Kolej kediaman sebagai makluman kepada mereka, juga sebagai medan untuk mereka berinteraksi bersama dengan kepimpinan yang baru dipilih. Roadshow baru-baru ini benar-benar membuka mata saya; kerana inilah peluang yang tidak dilepaskan oleh mahasiswa/i yang ingin memberitahu permasalahan yang sebelum ini terbuku di hati mereka. Kalau sebelum ini saya sering berlegar-legar di fakulti Sains dan Kolej Kediaman Ke -12; kini saya melihat banyak lagi permasalahan yang perlu diselesaikan di dalam universiti yang kita cintai ini.
Setelah mendengar permasalahan yang dibangkitkan oleh mahasiswa/i sepanjang roadshow; saya membuat beberapa kesimpulan. Yang pertama, mahasiswa tidak kira siapa yang mereka undi dan sokong sebelum ini, mereka melihat kepimpinan MPMUM kali ini sebagai tempat untuk mereka menyuarakan permasalahan mereka. Yang kedua, tidak semua permasalahan yang dibangkitkan tersebut termasuk dalam manifesto-manifesto yang kami janjikan sepanjang kempen pilihanraya kampus yang lepas. Yang ketiga, permasalahan yang dibangkitkan lebih bersifat lokal, dekat dengan hal-hal kebajikan mahasiswa.
Saya melihat semua permasalahan yang dibangkitkan ini sebagai asas yang perlu ditangani awal sebelum perubahan-perubahan besar yang lain boleh dilakukan di Universiti Malaya. Tetapi untuk menyelesaikan semuanya merupakan tugas yang sukar. Harapan yang diletakkan kepada bahu kami sebagai kepimpinan MPMUM tidak boleh kami persiakan, namun saya berharap kerjasama antara semua agar permasalahan diselesaikan dengan baik. Dengan interaksi yang baik antara MPMUM dan mahasiswa/i di kolej kediaman, segala permasalahan akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi dengan pantas.
Masanya telah tiba untuk semua memainkan peranan mereka. Bantulah kami untuk membantu Universiti Malaya ke peringkat yang lebih tinggi dari sebelumnya.
Kepada kolej-kolej yang tidak sempat kami singgah, kami pohon seribu kemaafan kerana tidak dapat meluangkan masa untuk bersama dengan anda. Saya akan cuba berbincang dengan rakan-rakan MPMUM yang lain untuk mengaturkan lawatan ke kolej yang tidak sempat kami lawati.

0 comments:
Post a Comment